Thursday, April 23, 2009

Melayu Di Zon Selesa

Suatu ketika dahulu, orang Melayu merupakan suatu bangsa yang amat masyhur. Orang Melayu pernah menjadi pelayar yang hebat, malah juga merupakan pedagang yang berjaya. Sejarah kejayaan bangsa Melayu bermula di kota Melaka yang ketika itu merupakan pusat perdagangan utama di rantau ini dan seterusnya menjadi pelabuhan entrepot yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk para pedagang. Ketika itu, kedudukan bangsa Melayu amat kuat dan memiliki kekayaan dan perniagaan yang hebat. Selain perdagangan, penyebaran agama Islam juga berlaku dengan begitu efisien sekali ditambah pula dengan sokongan dan dokongan para Sultan Melayu ketika itu dan kestabilan politik, Islam tersebar luas di Melaka dan seterusnya Melaka menjadi pusat penyebaran Islam yang utama di rantau ini. Pendek kata Melaka yang dipimpin oleh orang Melayu ketika itu amat dikenali bukan sahaja di seluruh nusantara malah terkenal di seluruh dunia.

Berdasarkan catatan sejarah tersebut dapatlah dirumuskan bahawa orang Melayu mempunyai potensi diri yang amat tinggi untuk berjaya dan seterusnya membina empayar yang amat hebat di zaman kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Namun begitu, ketika di era penjajahan British dan seterusnya Jepun serta kemasukan imigran berbangsa Cina dan India ke Malaya ketika itu, orang Melayu mulai ‘kehilangan semangat’ buat sementara oleh kerana penjajah yang bersikap tamak ketika itu telah melemahkan orang Melayu dari segi ekonomi dan politik. Namun, walaupun berada di dalam cengkaman penjajah (British), telah lahir beberapa pahlawan Melayu dari kalangan orang Melayu itu sendiri dan mereka telah bangkit menentang penjajah. Walaupun penentangan tersebut tidak berjaya mengusir penjajah British, tetapi kesedaran yang ada di dalam diri beberapa pahlawan Melayu ketika itu haruslah dipuji dan wajar dicontohi. Sekitar tahun 1940 an ke tahun 1950an, orang Melayu sekali lagi bangkit dari ‘zon tidak selesa’ (ketika di era British dan Jepun) dan bersatu padu di dalam UMNO ketika itu untuk menentang Malayan Union dan seterusnya berupaya untuk menuntut kemerdekaan tanpa sebarang pertumpahan darah daripada British.

Beberapa siri kejayaan bangsa Melayu pada ketika dahulu adalah kerana mereka mampu bersatu padu dan seterusnya sama-sama berusaha untuk keluarkan diri dari belenggu penjajah. Atau dalam bahasa ringkasnya orang Melayu pada ketika tersebut berada dalam keadaan di mana mereka merasakan mereka terdesak untuk bersatu padu dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, berusaha dan bekerja secara bersama untuk mencapai sesuatu matlamat. Ketika itu mereka berada di dalam zon yang tidak begitu selesa dan orang Melayu telah membuktikan mereka mampu untuk bangkit dan bersatu secara total bagi mengejar sesuatu yang diimpikan.

Hal ini amat berbeza sekali apabila kita melangkah ke era moden. Orang Melayu lebih cenderung untuk berusaha bagi pihak diri sendiri sahaja secara berasingan tanpa bantuan atau tanpa mengambil kira masyarakat di sekeliling. Walaupun tidak semua orang Melayu bersikap begitu tetapi boleh dikatakan ramai orang Melayu yang mengambil sikap tak endah akan peri perlunya mempertahankan hak mereka yang sebenarnya tidak kekal itu. Mereka merasakan akan sentiasa akan ada orang yang memperjuangkan hak-hak melayu dan kemelayuan untuk mereka walaupun secara individunya mereka tidak bersama-sama berusaha dengan pihak tertentu untuk mempertahankan hak-hak tersebut. Anggapan orang Melayu terhadap isu ketuanan Melayu, dominasi politik oleh orang Melayu dan penguasaan ekonomi adalah ianya akan kekal milik orang Melayu selama-lamanya. Orang Melayu harus sedar bahawa setiap dari mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan hak-hak melayu dan sikap acuh tak acuh atau endah tak endah akan akhirnya menghakis hak-hak keistimewaan tersebut tanpa disedari. Sikap berpecah belah akibat fahaman politik yang berbeza tidak seharusnya dijadikan sempadan atau tembok penghalang untuk sama-sama duduk berbincang isu –isu yang membawa manfaat kepada orang Melayu.

Oleh itu orang Melayu perlu keluar dari suatu keadaan yang membuatkan mereka berada di dalam zon selesa yang merupakan suatu ancaman baru orang Melayu dewasa ini. Penglibatan orang Melayu di dalam kempen kesedaran tersebut terutama di kalangan profesional Melayu dan juga ahli politik Melayu adalah perlu untuk mengembalikan kesedaran tersebut untuk sama –sama bersatu bagi mempertahankan hak Melayu. Di kalangan masyarakat Melayu amnya perlu berfikir secara serius untuk membentuk suatu pola pemikiran Melayu Baru yang berteraskan semangat Melayu yang tulen. Tanggungjawab mempertahankan hak Melayu adalah tanggungjawab semua dan bukan hanya terletak di bahu UMNO atau di bahu pihak-pihak tertentu semata-mata.

Salam Perkenalan

Bismillahirrahmanirrahim.

Selamat Datang dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca dan pelawat Blog Rasmi UMNO Cawangan Bangi 3, Bahagian Serdang. Sesungguhnya dunia hari ini telah menyaksikan satu lagi perubahan di mana media alternatif telah hampir 70% menguasai dunia dan dalam era dunia tanpa sempadan ini, sekelompok anak muda telah bersatu tenaga dan buah fikiran lantas menghasilkan satu wadah rasmi yang bukan hanya sekadar membicarakan persoalan politik di peringkat cawangan atau bahagian semata-mata malah akan berusaha membawa semua pembaca ke satu era pemikiran ORDER baru yang lebih segar dan berkesan.

Aspek yang bakal dikupas dan diterokai adalah merangkumi aspek sosial bermula dari peringkat remaja dan golongan muda hinggalah kepada yang telah berusia, aspek ekonomi dan perniagaan, aspek isu semasa, selain pengupasan yang menarik dalam aspek pendidikan dan akademik, kebudayaan serta akan juga menyentuh mengenai kemelut dunia yang berlaku hari ini.

Dunia blog mahupun laman web pada hari ini merupakan satu wadah penyampaian idea yang amat berkesan dan cepat serta merangkumi seluruh dunia di mana menyaksikan kelahiran satu pola pemikiran yang bercampur aduk dan meletakkan manusia di satu tahap di mana terlalu sukar untuk membedakan antara kebenaran dan kebatilan.

Namun begitu, pihak penulis (Umno Bangi 3) akan sentiasa memberikan pandangan yang berunsur pra ilmiah dalam bentuk muda yang lebih santai untuk tatapan para pembaca sekalian. Harapan kami agar blog ini menjadi satu suara untuk kita dan aspek perjuangan juga adalah tidak lari dari membicarakan dari perspektif dan persoalan kekitaan.

Selamat membaca.

‘Suara Kita Suara Perubahan’

Pak Abu