Sunday, October 25, 2009

SEKITAR GAMBAR PROGRAM TAUTAN KASIH MESRA




KOPERASI UMNO BANGI 3

1) Dalam meneruskan agenda perjuangan, agenda memajukan ekonomi ahli cawangan tidak pernah dilupakan. Maka atas dasar itu, satu mesyuarat khas penubuhan koperasi UMNO Bangi 3 telah diadakan.

2) Beberapa ketetapan telah dibuat antaranya:

i) Pelantikan organisasi untuk menggerakkan koperasi- Sdr Rizuan atau lebih dikenali sebagai Bob mengetuai koperasi bagi sesi 2009-2010.

ii) Koperasi Bangi 3 adalah di bawah Kelab Niaga dan Keusahawanan (KENU), UMNO Cawangan Bangi 3 tetapi KENU tidak akan campurtangan dalam pengurusan koperasi. Segala keputusan adalah datangnya daripada Lembaga Pengarah yang akan dilantik kelak.

iii) UMNO hanya akan campurtangan dalam aspek yang tidak mampu diselesaikan oleh Lembaga Pengarah atas permintaan Lembaga Pengarah sendiri.

3) Semoga koperasi ini akan berjaya didaftarkan dan memberikan manfaat kepada seluruh ahli kelak.

PEJABAT UMNO CAWANGAN BANGI 3

Sunday, September 27, 2009

SALAM AIDILFITRI

Rasanya tidak terlewat lagi untuk Pak Abu selaku moderator Blog Rasmi UMNO Bangi 3 untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat semua ahli UMNO Bangi 3 khasnya dan UMNO Bahagian Serdang amnya.

Segala kekasaran bahasa, tersinggung dan terprasangka buruk harap dimaafi. Inilah lumrah kita di dalam mengharungi perjuangan politik penuh dugaan dan liku ini tidak lekang dari kesilapan dan kesalahan samada disedari atau tidak.

Selamat Hari Raya....

Pak Abu
Moderator Blog Suara Bangi 3

Tautan Kasih Mesra UMNO Bangi 3- Ma'had Tahfiz Darul Fuqaha

Umno Bangi 3 sekali lagi membuktikan kemampuan cawangan ini bahawa ia bukanlah semata2 entiti politik. Matlamat untuk menjadikan Umno di peringkat cawangan ini sebagai sebuah entiti yang dekat dengan masyarakat lantas menjadikan Umno Bangi 3 terus relevan dan diterima oleh masyarakat dizahirkan dengan terlaksananya program berbentuk kebajikan yang dinamakan Tautan Kasih Mesra (TKM 09) Umno Bangi 3- Maahad Tahfiz Darul Fuqaha, Bangi.

Program yang berlangsung pada bulan Ramadhan ini digerakkan oleh 9 org AJK yang terdiri dari pimpinan kanan UMNO Bangi 3 dan diketuai oleh Dr Norshinah ini akan dijadikan program kebajikan secara tahunan.

Program bermula jam 5.30 ptg di mana kehadiran AJK disambut oleh Pengetua sekolah dan penjaga pelajar. Dimulakan dengan ucapan aluan oleh penjaga pelajar dan seterusnya ucapan oleh Sdr Jalil, Ketua UMNO Bangi 3. Program seterusnya diteruskan dengan penyampaian sumbangan berupa Naskhah Al-Quran yang disumbangkan oleh Dr Shinah serta pakaian terpakai.

Selesai penyampaian sumbangan, majlis diteruskan dengan slot motivasi santai yang disampaikan oleh Sdr Jalil dan Dr Shinah. Slot motivasi ini merupakan sumbangan dari segi pembangunan insan oleh UMNO Bangi 3 kepada para pelajar. Selesai sesi soal jawab, majlis diteruskan dengan program persembahan oleh para pelajar. Selain persembahan mengaji, para pelajar juga mempersembahkan nyanyian nasyid.

Majlis berbuka puasa dan beramah mesra antara pelajar dengan pimpinan UMNO Bangi 3 berlangsung dengan baik. Terima kasih diucapkan kepada pengarah program iaitu Dr Shinah di atas sumbangan tajaan makanan untuk anak2 yatim dan para tetamu.

Terima kasih di atas kerjasama yang baik buat para guru di ma'had tahfiz Darul Fuqaha dan buat semua yang terlibat dalam menjayakan program berbentuk kebajikan ini. Semoga usaha kita diberkati Allah hendaknya. Amin.

Wa'salam

PEJABAT UMNO BANGI 3

Wednesday, September 2, 2009

Agenda Kebajikan UMNO Bangi 3

BULAN Ramadhan adalah bulan yang penuh berkat dan umat Islam khasnya digalakkan melakukan amal ibadah serta membuat kebajikan. Atas dasar itu, maka UMNO Cawangan Bangi 3 melalui Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan akan menganjurkan satu program khas yang dinamakan Tautan Mesra Kasih.

Program Tautan Mesra Kasih (TMK) ini diadakan bagi meraikan anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal. Venue pilihan adalah di Ma'had Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab, Bangi pada 06 September 2009. Ma'had ini merupakan sebuah sekolah persendirian yang memberikan pendidikan secara percuma kepada anak2 yatim, fakir miskin dan ibu tunggal.
Pengarah bagi program ini adalah Dr Norshinah yang juga merupakan penasihat Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan, UMNO Bangi 3.
Menurut Dr Shinah, aktiviti kebajikan sebegini adalah sangat baik bagi imej UMNO secara keseluruhannya dan ia diharap akan dapat membetulkan kembali persepsi masyarakat terhadap UMNO secara keseluruhannya.
Manakala menurut Ketua UMNO Bangi 3 pula, program kebajikan seperti TMK diharap akan dapat menarik kumpulan masyarakat sekitar Bangi 3 agar dapat menyertai UMNO dan dapat memberikan sumbangan mereka tidak kiralah dari segi material, masa mahupun tenaga mereka. Buat pengkritik UMNO pula, Sdr Jalil mengharapkan mereka dapat menilai semula kritikan mereka kerana setakat ini, komitmen UMNO bagi membantu masyarakat tidak pernah pudar dan satu demi satu program kebajikan dan kemasyarakatan yang dibuat secara konsisten diharap dapat menyedarkan mereka tentang sisi positif UMNO itu sendiri. Dalam apa jua keadaan mereka yang bekerja ataupun berbuat sesuatu adalah lebih mulia daripada mereka yang hanya sekadar mengkritik tanpa melakukan apa-apa terhadap pembangunan bangsa.
Sdr Jalil juga mengharapkan semoga bulan ramadhan ini akan menjadi platform yang baik bagi mereka yang ingin terus bekerja dan menyumbang untuk bangsa, agama dan negara.
Diharap program TMK menjadi satu perintis kepada program kebajikan lain buat UMNO Bangi 3 dan UMNO Bangi 3 akan tetap konsisten dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan melakukan perkara yang baik walaupun berdepan pelbagai tohmahan negatif dari pelbagai pihak terutama yang datangnya dari bangsa Melayu sendiri!










PEJABAT UMNO BANGI 3

Friday, August 21, 2009

Selamat Berpuasa

Di kesempatan ini Pak Abu ingin mengucapkan selamat berjuang buat semua pembaca blog rasmi UMNO Cawangan Bangi 3. Perjuangan kali ini tidak memerlukan kita mengangkat senjata tetapi perjuangan ini dikatakan sebagai antara yang lpaling sukar untuk dilakukan oleh kita iaitu perjuangan melawan hawa nafsu.

Pak Abu nak pesan bukan hanya untuk kalian semua tetapi untuk diri sendiri jugak iaitu sempena bulan puasa ini perbanyakkanlah amalan kita sebab selama 11 bulan kita telah banyak sangat melakukan untuk dunia. Tetapi untuk sebulan ini kita lebihkan sedikit amalan kepada Ilahi sebab satu hari nanti kita pasti akan mengadapNya dan itu adalah PASTI.

Selamat berpuasa dan beribadah untuk semua sahabat2 terutama di Bangi 3 dan sahabat2 di Serdang amnya.

Pak Abu

Tuesday, August 11, 2009

Perlukah ISA Di Negara Kita?

1. Benarkah menghapuskan ISA adalah baik untuk rakyat? Benarkah ISA mengongkong rakyat dan zalim terhadap rakyat? Benarkah ISA merupakan jentera pemusnah yang dijadikan alat oleh pemerintah untuk menghukum seteru politik mereka di negara ini? Benarkah ISA perlu dihapuskan sama sekali?

2. Membaca kenyataan Tun Abdullah di dalam satu kenyataan beliau tempohari amat mengejutkan kita. Beliau menyokong penghapusan ISA di Malaysia. Benarkah beliau akan menyertai Pakatan Rakyat seperti yang pernah di war-warkan sebelum ini? Penulis tidak pasti tentang ini dan sekiranya ini berlaku maka kita tidak akan mampu berbuat apa2 kerana negara ini merupakan negara demokrasi. Setiap rakyat bebas bersuara dan memilih tetapi sebagai pejuang Melayu sejati saya yakin Tun Abdullah mempunyai pertimbangan beliau sendiri dalam membuat keputusan terbaik untuk negara dan bangsa.

3. Kita lupakan sejenak tentang cerita mantan PM, kita renungi seketika perhimpunan anti ISA dan perhimpunan pro-ISA yang berlangsung semalam. Wajarkah perhimpunan haram seperti ini diadakan?

4. Sejauh manakah kesan perhimpunan ini terhadap perubahan dasar negara tidak dapat pula dipastikan apabila Dato' Seri Najib mengeluarkan satu kenyataan bahawa ISA tidak akan dihapuskan sebaliknya akan dikaji dan diubah pada perkara2 tertentu sahaja. Itu pun masih dalam peringkat kajian dan perbincangan.

5. Jadi apa gunanya kita membuat kecoh di saat negara menghadapi kekangan ekonomi yang dahsyat ketika ini. Saya bukannya tidak sensitif mahupun simpati dengan mangsa ISA yang ditahan tanpa pembelaan selama bertahun-tahun lamanya di Kamunting. Tetapi kita amat yakin penahanan mereka pasti mempunyai sebab2 tertentu. Samada mereka terlibat dalam aktiviti subversif yang menggangu gugat kepentingan negara atau atas sebab2 lain yang mereka sendiri tahu sebenarnya.

6. Sekiranya ISA dihapuskan, pernahkah kita terfikir akan kesan dan akibat buruknya? Pernahkah kita terfikir kesan buruk berikut?:

1. Rakyat akan hidup dalam ketakutan disebabkan oleh kadangkala gerakan demontrasi yang melibatkan golongan berkepentingan ini akan berakhir dengan keganasan. Aktiviti perniagaan terjejas. Aktiviti membeli belah rakyat akan terhad.

2. Pelabur asing akan takut untuk melabur di Malaysia disebabkan oleh merasa keadaan politik negara tidak begitu stabil. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan ekonomi negara.

3. Budaya rundingan akan berakhir sebab sekiranya tuntutan ke atas perkara2 tertentu tidak dipenuhi, rakyat akan memprotes di jalan raya dan bukannya melalui pandangan2 tertentu kepada kerajaan melalui saluran yang betul. Hal ini tidak baik untuk sesebuah kerajaan demokrasi di mana suara majoriti rakyat dalam pilihanraya tidak begitu 'laku'lagi. Suara di jalanan lebih kuat.

4. Rakyat bawahan hanya digunakan oleh golongan tertentu untuk menjayakan agenda politik mereka. Kadangkala mereka sendiri pun tidak begitu faham apa itu ISA dan bagaimana ianya digunapakai dalam konteks negara kita.

5. Kerosakan harta benda awam. Hal ini tidak baik dan kebiasaannya dalam siri demontrasi inilah yang berlaku.

6. Imej negara tercalar dan jatuh di mata negara luar.

7. Golongan2 tertentu yang tidak bertanggungjawab akan sentiasa melakukan sesuka hati mereka untuk mencari publisiti politik dengan cara yang mudah tetapi menyusahkan semua pihak.

8. Keadaan negara sentiasa akan tidak selamat dan tenteram. Rakyat tidak lagi bebas bergerak untuk melakukan aktiviti mereka disebabkan oleh ancaman2 seperti tunjuk perasaan dan sebagainya.

7. UMNO Bangi 3 berpendapat, ISA WAJAR dikekalkan demi untuk menjaga kepentingan majoriti rakyat negara ini. Mungkin sedikit pindaan diperlukan bagi memastikan tidak wujud sebarang unsur kezaliman dalam melaksanakan akta tersebut. Jadi, buat masa ini saya masih dengan pendirian bersetuju dengan ISA.

Monday, August 10, 2009

Mengangkat Martabat Bangsa- Tun Dr Mahathir

Umno Bahagian Serdang telah berjaya menganjurkan program khasnya di mana panel jemputan terdiri daripada mantan PM Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah pada 01 Ogos lalu bertempat di DECTAR, UKM.

UMNO Cawangan Bangi 3 juga turut terlibat secara langsung dalam menjayakan program berkenaan di mana sdr Jalil dan Sdr Mazlan telah diberikan amanah sebagai AJK IT dan Multimedia memegang portfolio untuk menjayakan slide persembahan yang digunakan sepanjang program tersebut.
Walaupun kehadiran tidak mencapai sasaran tetapi kehadiran 1 200 hadirin pada hari program boleh dikatakan sesuatu yang boleh dibanggakan. Tambahan pula, kehadiran ahli Kelab Chedet (KCD) ke program tersebut telah menambahkan lagi impak kepada program ini di mana slot soal jawab yang diperuntukkan telah digunakan sebaik mungkin oleh jawatankuasa kelab tersebut.








Di dalam ucapan Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah beliau menyentuh mengenai peri perlunya bangsa Melayu terus bersatu di bawah payung UMNO kerana sebarang bentuk perpecahan hanya menguntungkan kaum lain yang terbukti lebih maju daripada Melayu. Selain itu beliau turut mengingatkan orang Melayu supaya bangkit mempertahankan hak bangsa Melayu yang kian terhakis masakini disebabkan oleh sikap negatif bangsa itu sendiri yang asyik bergaduh sesama sendiri dan berpecah.
Kemuncak kepada program Mengangkat Martabat Bangsa semestinya ucapan dari pemimpin terunggul yang pernah dilahirkan di bumi Malaysia iaitu ucaptama oleh Yg Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir menyentuh mengenai bagaimana untuk memartabatkan bangsa Melayu. Beliau berpesan bahawa bangsa Melayu akan dipandang tinggi sekiranya menguasai ilmu, tidak kiralah ilmu apa sekalipun asalkan memberi manfaat untuk bangsa dan negara. Selain itu orang Melayu harus berani menegur pemimpin sekiranya pemimpin melakukan sesuatu yang tidak betul. Sikap mengiyakan setiap perlakuan pemimpin walaupun diketahui ianya salah akan terus menghancurkan parti dan bangsa.
Sesi soal jawab berlangsung dengan aman walaupun pengerusi majlis mengehadkan hanya kepada 3 soalan sahaja. Tun Dr Mahathir menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan baik walaupun beliau kelihatan sedikit letih akibat banyak menghadiri program2 yang telah disusun.
Harapan UMNO Bangi 3 agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi oleh pihak UMNO Bahagian Serdang agar sokongan masyarakat terhadap UMNO dapat dipulihkan.
Hidup Melayu !!! Hidup UMNO!!!
PEJABAT UMNO BANGI 3



Friday, July 24, 2009

Manek Urai- Berakhirnya Era Emas PAS

1. 'Kemenangan' tipis PAS dalam pilihanraya Manek Urai semalam menyaksikan petanda buruk telah mula melanda PAS dan Pakatan Rakyat. Kubu kuat di Manek Urai menyaksikan langkah yang dicanangkan oleh PAS langkah ke Putrajaya seolah-olah tersekat sedikit dengan keputusan tersebut.

2. Fakta menunjukkan PAS tewas di 5 peti undi daripada 9 di mana menyaksikan golongan muda mengalihkan sokongan mereka terhadap BN. Sesuatu yang sukar diterima terutama oleh kepimpinan PAS sendiri.

3. Saya berpandangan beberapa faktor mungkin menyebabkan keadaan yang luar biasa ini terjadi.

4. Pertama: Rakyat sudah mula menampakkan PAS semakin mula angkuh dan riak dengan sokongan rakyat terhadap mereka terutama selepas Mac 2008 yang lepas. Tetapi mereka lupa pada ketika itu, faktor penolakan terhadap kepimpinan Tun Abdullah memainkan peranan di samping faktor kurang popular lain seperti kenaikan harga minyak dan harga barang pada ketika itu. Ketika ini dengan kepimpinan baru yang lebih terbuka dan kemas, rakyat sudah mula menampakkan bahawa UMNO-BN masih relevan untuk memimpin mereka.

5. Kedua: Orang Melayu terutama golongan yang di atas pagar dan golongan muda mahukan perubahan terutama di Manek Urai sendiri yang begitu ketinggalan dari arus pembangunan. Mereka percaya kerajaan pusat dapat membantu mereka untuk keluar dari permasalahan mereka dan seterusnya mampu memberikan yang terbaik untuk kehidupan mereka.

6. Ketiga: Kenyataan - kenyataan Tuan Guru Nik Aziz agak keterlaluan dalam menghukum UMNO- BN mengundang rasa simpati orang Melayu terhadap BN. Selain itu, ketiadaan poster Hadi Awang pada peringkat awal kempen juga memberikan kesan terutama kepada penyokong PAS aliran pro muzakarah dengan UMNO.

7. Keempat: Kekurangan makumat seperti dari media alternatif seperti internet juga mungkin menyebabkan pengundi di Manek Urai lebih bersandarkan kepada maklumat dari berita mahupun akhbar aliran utama berbanding maklumat dari pembangkang yang lebih berkesan untuk kawasan bandar.

8. Kelima: Kemelut yang berlaku di dalam PAS selepas pemilihan PAS juga mungkin memberikan kesan terhadap jentera PAS untuk pilihanraya kecil ini.

9. Keenam: Bagi golongan muda, UMNO di era Dato seri Najib dilihat lebih remaja dan segar berbanding PAS yang akhir-akhir ini lebih banyak didominasi oleh Nik Aziz dan golongan lama. Dari segi perletakan calon juga PAS dilihat lebih ortodoks dan agak tua berbanding UMNO yang meletakkan calon yang muda dengan idea baru dan lebih segar.

10. Ketujuh: Faktor Khairy Jamaluddin yang memimpin pemuda dengan gaya politik baru juga diakui banyak membantu di dalam memberikan undi kepada BN. KJ dilihat lebih dekat dengan pemuda dan lebih bertenaga dalam memimpin pemuda hingga menenggelam pimpinan pemuda PAS yang dilihat tidak mewakili aspirasi golongan muda di negeri itu.

11. Mungkinkah era emas PAS bakal berakhir? Atau keputusan ini sekadar untuk mengingatkan PAS agar tidak terlalu angkuh dalam tindakan dan perkataan mereka tidak kira kepada kawan mahupun lawan?

Tuesday, June 16, 2009

Persidangan Tahunan Bangi 3: Suara Anak Muda

13 Jun 2009, Bangi- Persidangan tahunan UMNO Cawangan Bangi 3 berlangsung dengan lancar sekali. Susunan aturcara yang tersusun dan profesional, ditambah dengan kehadiran Setiausaha UMNO Bahagian Serdang menambahkan lagi seri mesyuarat. Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua UMNO Cawangan Bangi 3, sdr Mazlan yang memohon ke hadrat Ilahi agar perjuangan UMNO dan mesyuarat malam tersebut berjalan lancar.

Sdr Jalil, Ketua UMNO Cawangan Bangi 3 memulakan sesi mesyuarat dengan ucapan alu-aluannya. Dalam ucapannya Sdr Jalil menggariskan beberapa perkara penting tentang UMNO Bangi 3. Ringkasannya:
1. Sdr Jalil mengumumkan kepada semua ahli bahawa UMNO Bangi 3 telah memiliki saluran media rasminya sendiri iaitu laman blog dan ia akan memuatkan bukan sahaja laporan aktiviti UMNO Bangi 3 bahkan ia akan juga menyentuh pandangan-pandangan anak muda terhadap isu-isu semasa meliputi semua aspek seperti kebudayaan, sosial, pendidikan, teknologi, agama dan ekonomi. Blog akan menjadi medium utama ahli untuk mengikuti dengan lebih dekat idealisme dan hala tuju gerakan UMNO Bangi 3.

2. Penubuhan 3 kelab utama iaitu KENU (Kelab Niaga dan Usahawan), Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) serta Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan (3K) yang berfungsi untuk menggerakkan ahli dan Cawangan dalam 3 aspek utama tersebut.
3. Menubuhkan koperasi UMNO Bangi 3 bagi memberikan peluang kepada ahli menambahkan pendapatan mereka. Permohonan untuk menubuhkan koperasi tersebut telah dilakukan oleh KENU.
4. Penubuhan sayap wanita UMNO Bangi 3. Dalam ertikata lain, Bangi 3 akan melebarkan pengaruh bukan hanya di kalangan orang muda sebaliknya tidak dilupakan untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas (atau 35 tahun bagi puteri). Serentak dengan penubuhan wanita, satu majlis penyampaian sumbangan untuk ibu-ibu tunggal akan diadakan. Program tersebut akan diketuai oleh Pn Masurawati, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan.

5. Pergerakan Pemuda UMNO Bangi 3 akan teruskan usaha kaderisasi para pemuda terutama yang berusia 30 tahun ke bawah dalam menjayakan program-program anjuran cawangan.
Sdr Jalil mengulangi pendirian UMNO Cawangan Bangi 3 untuk meneruskan perjuangan mereka bagi membela bangsa Melayu yang kini terumbang ambing nasib di bumi sendiri walaupun hanya di peringkat cawangan.
Mesyuarat seterusnya diteruskan dengan perasmian persidangan tahunan oleh Yg Bhg Tuan Hj Baharin, Setiausaha UMNO Bahagian Serdang. Ucapan yang amat menarik dari beliau yang menyentuh tentang nasib orang Melayu, pendidikan serta beberapa isu lain termasuk sejarah perjuangan UMNO suatu ketika dahulu menarik perhatian semua ahli Bangi 3 dan setrusnya membakar semangat mereka untuk terus mara dalam perjuangan ini.
Selesai ucapan daripada Tn Hj Baharin dan perasmian, persidangan tahunan UMNO Cawangan Bangi 3 dimulakan dengan Persidangan Pemuda. Sdr Jalil telah mencadangkan kepada sidang mesyuarat untuk di bawa ke peringkat Bahagian dan setrusnya ke UMNO Malaysia. Hj Baharin menyeru semua perwakilan supaya memberikan idea2 bernas memandangkan katanya cawangan ini terdiri hampir 30% keahlian adalah dikalangan professional muda.
Sdr Jalil membawa usul menggesa pimpinan tertinggi UMNO supaya memberikan tumpuan khusus kepada kewujudan media baru yang diminati golongan muda iaitu internet seperti blog dan laman2 web memandangkan pihak pembangkang mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah dan dakyah mereka menggunakan media-media yang dianggap alternatif bagi UMNO tetapi bagi rakyat pula telah mula mengalihkan perhatian mereka kepada media ini dan ia ternyata amat berkesan sekali hingga menyebabkan saluran 4 dan 5 BN telah tewas di dalam Pilihanraya baru-baru ini. Usul yang dibawakan ini telah diluluskan oleh sidang meyuarat secara sebulat suara.
Setelah selesai persidangan pemuda maka cawangan pula mula bersidang. UMNO Cawangan Bangi 3 menerusi Sdr Jalil sekali lagi mencadangkan usul agar perlembagaan UMNO dipinda bagi membolehkan pengundian untuk memilih presiden UMNO ditentukan hatta diperingkat kepimpinan cawangan. UMNO Bangi 3 menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk meneliti cadangan ini dan menentukan metodologi teknikal bagi pemilihan termasuklah cadangan untuk membolehkan pengundian secara online di pejabat bahagian dibuat. Usul ini dibahaskan seketika di dalam sidang mesyuarat namun setelah menjelaskan secara terperinci, ia diterima secra majoriti oleh sidang mesyuarat.
Mesyuarat diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh beberapa AJK cawangan yang menyentuh aspek kaderisasi dan penarikan sokongan oleh ahli UMNO termasuklah cadangan supaya mendekatkan diri dengan masjid dan surau bagi memenangi hati masyarakat setempat.
Sekalung tahniah diucapkan kepada AJK Cawangan dan ahli yang hadir ke mesyuarat tahunan UMNO Bangi 3 dan semoga hasrat semua untuk menjadi cawangan yang hebat bukan sahaja diperingkat cawangan dan bahagian malah dikenali dipersada nasional tercapai. InsyaAllah. Hidup Melayu! Hidup Islam!

PEJABAT UMNO
CAWANGAN BANGI 3

Saturday, June 13, 2009

Futsal Inter Cawangan Pemuda Bandar Baru Bangi Meriah

Pertandingan Futsal Inter Cawangan Pemuda UMNO sekitar Bandar Baru Bangi yang diadakan baru-baru ini berlansung dengan meriah sekali atas nama persahabatan dan persaudaraan sesama ahli UMNO yang tinggal berjiran kawasan Bandar Baru Bangi. Pertandingan yang berlansung selama hampir 2 jam itu menyaksikan penglibatan 6 cawangan Pergerakan Pemuda UMNO.

Perlawanan berlansung dalam 3 peringkat iaitu peringkat pusingan pertama, kedua dan seterusnya separuh akhir dan di ikuti oleh perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat. Seterusnya acara kemuncak iaitu final diadakan selama 10 minit.

Walaupun perlawanan berlansung tanpa pengadil namun tidak ada sebarang protes atau bantahan dibuat terhadap urusetia Bangi 3 yang terlibat menganjurkan pertandingan persahabatan tersebut. Tahniah diucapkan!.

Tempat pertama dimenangi oleh Pasukan di bawah bimbingan Sdr Diky Zawawi iaitu pasukan Sg Ramal Dalam, manakala tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan bimbingan Sdr Raof iaitu Jalan 6. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan bimbingan Sdr Shaharudin iaitu Jalan Bandar manakala penganjur kejohanan iaitu Pasukan Bangi 3 dibawah pimpinan Sdr Ujang mendapat tempat keempat setelah tewas tipis kepada Jalan Bandar. Pasukan bimbingan Sdr Yani pula mendapat tempat ke-5 manakala pasukan bimbingan Sdr Mat Sabri pula ditempat ke-6.

Menang kalah adat pertandingan dan hadiah disampaikan oleh Sdr Jalil Muhamad ketua Pemuda UMNO Bangi 3. Kerjasama dari semua pemain terutama ketuapemuda cawangan yang terlibat adalah sangat dihargai dan bagi pihak penganjur, kami mohon maaf atas segala kelemahan sepanjang perlawanan berlansung.

Thursday, May 21, 2009

PERTANDINGAN FUTSAL PERSAHABATAN BANDAR BARU BANGI

Satu pertandingan Futsal Persahabatan Inter Cawangan Pemuda UMNO Bandar Baru Bangi akan diadakan pada hari Ahad ini (24 Mei 2009) pada jam 9.30-12.00 tengahari bertempat di Sport Planet Sg Chua. Antara cawangan yang dijemput untuk perlawanan ini adalah:

1) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Sg Ramal
2) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan 6
3) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Council Home
4) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Bandar
5) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Seksyen 1,16
6) Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Bangi 3

Perlawanan Futsal ini merupakan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Bangi 3 dan Sdr Jalil yang merupakan penasihat Kelab tersebut telah ditugaskan sebagai pengarah program dengan dibantu oleh AJK UMNO Cawangan Bangi 3.

Matlamat program ini diadakan adalah untuk memantapkan jalinan persahabatan antara cawangan2 UMNO di sekitar Bandar Baru Bangi.

Semoga pasukan Bangi 3 yang dipimpin oleh Sdr Ujang berjaya dalam pertandingan itu nanti.
Laporan akan menyusul kemudian.

PEJABAT UMNO
CAWANGAN BANGI 3

Monday, May 11, 2009

Isu Perak- BN Tewas Di Mahkamah: Salah Penasihat Undang-Undang UMNO-BN?

1) Semalam secara rasmi Dato' Seri Nizar diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana menurut hakim, seseorang penyandang jawatan tersebut hanya boleh dilucutkan dari jawatan melalui sidang DUN (undi tidak percaya dan sebagainya).

2. Sejak dari awal lagi saya secara peribadi di samping hasil perbincangan kedai kopi di sekitar Bangi merasakan pengambilalihan jawatan oleh Dato' Seri Dr Zamry ada sesuatu yang tidak kena atau dalam ayat mudahnya BN tidak berfikir panjang terlebih dahulu sebelum melakukan tindakan ini. Rakan2 saya yang merupakan lawyer pun merasakan bahawa tindakan ini adalah tidak mematuhi undang2 serta akan tewas apabila dicabar di mahkamah nanti.
3. Rakyat juga dilihat menolak perlakuan merampas negeri yang dilakukan oleh BN kali ini dan ini juga melanggar norma2 katatasusilaan BN serta prinsip menghormati keluhuran undang2 yang didokong dan dilaung2kan. Hatta mantan PM Tun Dr Mahathir juga turut menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak mengikut lunas undang2 yang sah.
4. Nah hari ini terjawab sudah segala bantahan dan persoalan di samping penghujahan selama ini. Yang amat mendukacitakan ialah apabila Pakata Rakyat sekali lagi mendapat 'political mileage'. Saya hampir yakin sekiranya diadakan pilihanraya umum pada ketika ini, maka BN akan ghuyup kata orang Kedah. BN akan jadi Be-End.


5. Di mana pertimbangan undang2 yang dibuat oleh rakan2 lawyer kita dalam BN? Saya rasa penasihat undang2 BN atau sesiapa yang memberikan nasihat kepada BN untuk merampas Perak dari PR wajar dikaji semula kedudukan jawatan mereka. Ini kerana mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik dalam membuat pertimbangan sewajarnya sebelum orang2 politik mengambil tindakan mereka.


6. Kesan daripada pengumuman oleh mahkamah ini amat besar ke atas survival politik BN-UMNO. Ini kerana YAB DS Najib baru mengambil alih pemerintahan negara telah menerima tamparan hebat daripada tindakan yang tidak sewajarnya diambil ini. Selain mengikis keyakinan rakyat, imej UMNO-BN di mata pengundi bukan sahaja pengundi Melayu malah lebih besar kesannya ialah pada kaca mata orang cina amat buruk dan sukar untuk dipulihkan.


7. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, imej BN di mata rakyat Malaysia juga akan tercalar. Isu Perak bukanlah isu Perak semata2 sebaliknya adalah isu nasional dan isu penilaian awal terhadap kepimpinan PM baru kita. Saya rasa bijak pandai kat atas tu wajar adakan mesyuarat dan duduk berbincang. Buat satu grand design bagaimana untuk mengembalikan imej BN agar ia kelihata lebih mewakili rakyat. Kalau tak BN akan jadi Be- End!

Sunday, May 10, 2009

TAKLIMAT KHAS OLEH PEGAWAI PENGEMBANGAN KOPERASI PARLIMEN SERDANG KEPADA AJK UMNO BANGI 3

Jumaat, 8 Mei 2009- Satu mesyuarat khas telah diadakan oleh UMNO Bangi 3. Agenda khas kali ini adalah dengan adanya sesi taklimat khas oleh Pegawai Perkembangan Koperasi Parlimen Serdang, En Rashdan. Sesi taklimat berkenaan menyentuh aspek aspek bagaimana untuk menubuhkan koperasi, jenis2 koperasi dan bagaimana mengendalikan operasi sesebuah koperasi serta peluang2, peranan dan bantuan yang boleh didapati dari pihak tertentu bagi memastikan kejayaan sesebuah koperasi.

Sesi ini berlansung selama sejam dengan kehadiran hampir 12 orang think tank UMNO Bangi 3. Menurut Sdr Jalil selaku Ketua Cawangan, ini adalah salah satu usahapihak beliau untuk menarik minat golongan muda dari pelbagai golongan untuk mendekati UMNO dan beliau turut menyatakan aktiviti seperti ini akan dapat meningkatkan tahap ekonomi ahli disamping akan dapat menjadikan UMNO terus relevan bagi orang Melayu. Walaupun usaha ini hanya di peingkat cawangan, namun ianya akan dapat diperkembangkan sekiranya mendapat sambutan. Ini adalah sebagai 'Pilot Project'.

Menurut Pengerusi Kelab KENU Sdr Rafizan pula, pihaknya akan menimbangkan dari pelbagai aspek berkenaan hasrat penubuhan koperasi berkenaan. Suara ahli dan persetujuan Majlis Tertinggi diperlukan untuk menggerakkan projek berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi UMNO Bangi 3 merangkap penasihat KENU, Sdr Mazlan menyatakan usaha membawa golongan yang terlibat atau pegawai dalam bidang tertentu seperti yang diusahakan pada malam ini adalah satu langkah yang positif ke arah melahirkan dan menarik keahlian tulen ke dalam UMNO dan Gerakan Belia 4B Bangi 3.

Selepas sesi soalan dan penjelasan yang cukup sempurna dari En Rashdan, Sdr Jalil merakamkan setinggi penghargaan kepada En Rashdan di atas kesudian beliau untuk meluangkan masa bersama ahli cawangan ini dan seterusnya Sdr Jalil bagi pihak UMNO Bangi 3 memberikan sedikit cenderahati kepada En Rashdan.

Selepas selesai sesi taklimat, Sdr Jalil mengarahkan Kelab KENU agar memperhalusi perkara ini dan mengkaji berkenaan pro dan kontra berkenaan penubuhan koperasi. Secara dasarnya, mesyuarat bersetuju dengan penubuhan koperasi agar memberikan manfaat dan faedah untuk ahli. Sdr Rafizan bersama2 sdr Najib dan Masurawati dengan bantuan nasihat dari wakil Majlis Tertinggi ke dalam Kelab KENU, Sdr Mazlan (Penasihat) akan merangka penubuhan koperasi tersebut sedikit masa lagi.

Harapan Pak Abu agar KENU dan lain2 kelab yang dibentuk ini agar dapat bersama2 membantu menggerakkan UMNO Bangi 3 dalam segenap aspek. Semogaidea2 yang diberikan dapat direalisasikan sebaik mungkin. Insya Allah.

Pak Abu: Semua perkara/ cadangan yang dalam bentuk Idea pada mulanya adalah tidak ada nilai sehinggalah ianya dapat dilaksanakan atau direalisasikan....

Monday, May 4, 2009

Anjakan Perubahan Bangi 3

Jumaat-24 april 2009: Bertempat di Pejabat Ghafient, satu perjumpaan khas Majlis Tertinggi Umno Cawangan Bangi 3 telah diadakan setelah hampir 3 bulan tidak berjumpa dan berbincang (Secara Rasmi). Antara agenda menarik perjumpaan tersebut adalah pemberitahuan kepada semua ahli Majlis Tertinggi berkenaan pembinaan laman Blog Rasmi UMNO Cawangan Bangi 3 yang bakal menjadi medium komunikasi antara sesama ahli mahupun dengan masyarakat luar.

Laman blog tersebut telah dibangunkan oleh Sdr Jalil (Ketua Cawangan) dengan dibantu oleh sdr Mazlan (Timbalan KC) dan bakal menjadi satu suara rasmi politik bukan hanya sekadar berbentuk setempat tetapi pada peringkat nasional. Menurut Sdr Jalil, Blog tersebut bakal menjadi pencetus idea perubahan dalaman UMNO oleh generasi muda yang akan membicarakan bukan hanya aspek politik, malah aspek sosial, pendidikan, agama , kebudayaan, polisi dan dasar2 kerajaan dalam terma pembangunan Negara hingga ke satu tahap mampu mencetuskan polemik nasional, ujar beliau.
Selain membincangkan dan melantik jawatankuasa khas bagi mengendalikan blog, perjumpaan juga membincangkan berkenaan beberapa program yang bakal dijalankan seperti lawatan ke Majlis Belia Malaysia, perlawanan Futsal Persahabatan antara cawangan, perjumpaan santai bersama tokoh2 terkenal negara, majlis pelancaran blog UMNO Bangi 3.



Selain itu, perjumpaan juga membincangkan berkenaan mesyuarat tahunan cawangan yang bakal diadakan kelak.

Satu kelab telah ditubuhkan iaitu Kelab Usahawan@ Kelab Niaga Bangi 3 yang dipengerusikan oleh Sdr Rafizan. Tugas utama kelab ini adalah untuk menghasilkan idea2 bernas (Think Tank)dan seterusnya menggerakkan program2 berunsurkan keusahawanan bagi menjana pendapatan ahli dan juga cawangan Bangi 3. Menurut sdr Rafizan, beliau berharap agar Kelab Niaga ini akan dapat melahirkan usahawan terbaik di peringkat nasional dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu. Rafizan merupakan usahawan Muda yang berjaya di sekitar Bandar Baru Bangi.
Bagi merealisasikan hasrat untuk mendengar semua suara MT, sdr Jalil telah mengilhamkan satu survei yang dijalankan khas untuk mendengar suara MT bagi meningkatkan mutu gerakan UMNO Bangi 3 seterusnya Gerakan Belia Bangi 3. Survei telah diadakan secara bertulis dengan 2 segmen soalan dengan subunit soalan sebanyak 10 telah dijalankan bagi mendengar suara ahli MT agar perjalanan UMNO menjadi lebih baik. Setelah selesai mesyuarat, Sdr Jalil telah berbincang dengan Sdr Mazlan dan merangka satu formula yang akan digunapakai bagi menggerakkan ahli dan program2 bagi tahun 2009-2011.

Mesyuarat yang berlangsung selama sejam lebih tersebut dihadiri oleh kira2 12 orang MT dari 4 sayap utama parti dan diakhiri dengan sesi bergambar serta jamuan.

Harapan agar UMNO Bangi 3 akan terus gah di persada politik Serdang dan Malaysia amnya.

Sdr Mohd Nizam Md Arif
Setiausaha UMNO Bangi 3



Penghapusan Ekuiti Bumiputra- Yang Pro dan Kontra- Satu Penilaian

KENYATAAN AKHBAR DATUK IBRAHIM ALI, PRESIDEN PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)
1. PERKASA menghormati tindakan kerajaan meliberalisasikan 27 subsektor dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan dengannya berkuat kuasa serta-merta tanpa mengenakan sebarang syarat ekuiti seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu 22 April 2009.
2. PERKASA juga menginsafi bahawa tujuan tindakan tersebut adalah untuk membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Ini bermakna langkah ini dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat jelatanya.
3. PERKASA juga menghormati kenyataan kerajaan bahawa inisiatif liberalisasi ini tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan kerana ianya dilaksanakan dibawah kawalseliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
4. Bagaimanapun PERKASA kesal kerana kerajaan memansuhkan syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan. Ini bermakna usahawan Bumiputera tertutup peluang menyertai sektor ini walaupun ianya merupakan komponen penting dalam ekonomi negara yang menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan.
5. Memang mutakhir ini wujud segolongan usahawan Bumiputera yang berkemampuan untuk bersaing menerusi sistem yang terbuka. Tetapi, jumlah usahawan yang mampu berjaya menerusi sistem meritokrasi ini pastinya masih kecil dan belum menyeluruh.
6. Oleh itu, PERKASA bimbang bahawa keputusan kerajaan ini, walaupun demi untuk negara dan rakyat jelatanya, kemungkinan ianya menjejaskan majoriti usahawan Bumiputera di sektor perkhidmatan yang diliberalisasikan ini tidak dapat dinafikan. PERKASA juga bimbang bahawa tindakan kerajaan ini menjadi permulaan kepada pemansuhan ekuiti 30 peratus sepenuhnya bagi sektor-sektor lain di masa akan datang.
7. Oleh itu, PERKASA berpendapat bahawa keputusan memansuhkan ekuiti 30 peratus dalam sektor perkhidmatan yang dilebralisasikan dua hari lalu wajar dikaji semula dengan seberapa segera. Sekurang-kurangnya kerajaan wajar menetapkan ekuiti yang yang lebih kecil daripada kadar 30 peratus sebelum ini. Pada waktu yang sama, kerajaan perlu menyatakan secara tegas bahawa tahap ekuiti 30 peratus yang dikenakan sebelum ini akan dikuatkuasakan semula sebaik sahaja ekonomi negara pulih seperti sedia kala.
8. PERKASA menyatakan pendapat serta mengemukakan saranan di atas kerana dalam apa jua keadaan adalah kurang wajar jika status Bumiputera di negara ini seolah-olah diremehkan. Tindakan seperti ini memberikan persepsi dan impak negatif kepada kesungguhan kerajaan mempertahankan program dan dasar affirmatifnya bagi masyarakat Bumiputera seluruhnya.
9. Sekian. Terima kasih dan salam takzim.
Ibrahim Ali25 April 2009Posted by kudakepang at 6:04 PM
SUMBER:http://kuda-kepang.blogspot.com

Thursday, April 23, 2009

Melayu Di Zon Selesa

Suatu ketika dahulu, orang Melayu merupakan suatu bangsa yang amat masyhur. Orang Melayu pernah menjadi pelayar yang hebat, malah juga merupakan pedagang yang berjaya. Sejarah kejayaan bangsa Melayu bermula di kota Melaka yang ketika itu merupakan pusat perdagangan utama di rantau ini dan seterusnya menjadi pelabuhan entrepot yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk para pedagang. Ketika itu, kedudukan bangsa Melayu amat kuat dan memiliki kekayaan dan perniagaan yang hebat. Selain perdagangan, penyebaran agama Islam juga berlaku dengan begitu efisien sekali ditambah pula dengan sokongan dan dokongan para Sultan Melayu ketika itu dan kestabilan politik, Islam tersebar luas di Melaka dan seterusnya Melaka menjadi pusat penyebaran Islam yang utama di rantau ini. Pendek kata Melaka yang dipimpin oleh orang Melayu ketika itu amat dikenali bukan sahaja di seluruh nusantara malah terkenal di seluruh dunia.

Berdasarkan catatan sejarah tersebut dapatlah dirumuskan bahawa orang Melayu mempunyai potensi diri yang amat tinggi untuk berjaya dan seterusnya membina empayar yang amat hebat di zaman kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Namun begitu, ketika di era penjajahan British dan seterusnya Jepun serta kemasukan imigran berbangsa Cina dan India ke Malaya ketika itu, orang Melayu mulai ‘kehilangan semangat’ buat sementara oleh kerana penjajah yang bersikap tamak ketika itu telah melemahkan orang Melayu dari segi ekonomi dan politik. Namun, walaupun berada di dalam cengkaman penjajah (British), telah lahir beberapa pahlawan Melayu dari kalangan orang Melayu itu sendiri dan mereka telah bangkit menentang penjajah. Walaupun penentangan tersebut tidak berjaya mengusir penjajah British, tetapi kesedaran yang ada di dalam diri beberapa pahlawan Melayu ketika itu haruslah dipuji dan wajar dicontohi. Sekitar tahun 1940 an ke tahun 1950an, orang Melayu sekali lagi bangkit dari ‘zon tidak selesa’ (ketika di era British dan Jepun) dan bersatu padu di dalam UMNO ketika itu untuk menentang Malayan Union dan seterusnya berupaya untuk menuntut kemerdekaan tanpa sebarang pertumpahan darah daripada British.

Beberapa siri kejayaan bangsa Melayu pada ketika dahulu adalah kerana mereka mampu bersatu padu dan seterusnya sama-sama berusaha untuk keluarkan diri dari belenggu penjajah. Atau dalam bahasa ringkasnya orang Melayu pada ketika tersebut berada dalam keadaan di mana mereka merasakan mereka terdesak untuk bersatu padu dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, berusaha dan bekerja secara bersama untuk mencapai sesuatu matlamat. Ketika itu mereka berada di dalam zon yang tidak begitu selesa dan orang Melayu telah membuktikan mereka mampu untuk bangkit dan bersatu secara total bagi mengejar sesuatu yang diimpikan.

Hal ini amat berbeza sekali apabila kita melangkah ke era moden. Orang Melayu lebih cenderung untuk berusaha bagi pihak diri sendiri sahaja secara berasingan tanpa bantuan atau tanpa mengambil kira masyarakat di sekeliling. Walaupun tidak semua orang Melayu bersikap begitu tetapi boleh dikatakan ramai orang Melayu yang mengambil sikap tak endah akan peri perlunya mempertahankan hak mereka yang sebenarnya tidak kekal itu. Mereka merasakan akan sentiasa akan ada orang yang memperjuangkan hak-hak melayu dan kemelayuan untuk mereka walaupun secara individunya mereka tidak bersama-sama berusaha dengan pihak tertentu untuk mempertahankan hak-hak tersebut. Anggapan orang Melayu terhadap isu ketuanan Melayu, dominasi politik oleh orang Melayu dan penguasaan ekonomi adalah ianya akan kekal milik orang Melayu selama-lamanya. Orang Melayu harus sedar bahawa setiap dari mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan hak-hak melayu dan sikap acuh tak acuh atau endah tak endah akan akhirnya menghakis hak-hak keistimewaan tersebut tanpa disedari. Sikap berpecah belah akibat fahaman politik yang berbeza tidak seharusnya dijadikan sempadan atau tembok penghalang untuk sama-sama duduk berbincang isu –isu yang membawa manfaat kepada orang Melayu.

Oleh itu orang Melayu perlu keluar dari suatu keadaan yang membuatkan mereka berada di dalam zon selesa yang merupakan suatu ancaman baru orang Melayu dewasa ini. Penglibatan orang Melayu di dalam kempen kesedaran tersebut terutama di kalangan profesional Melayu dan juga ahli politik Melayu adalah perlu untuk mengembalikan kesedaran tersebut untuk sama –sama bersatu bagi mempertahankan hak Melayu. Di kalangan masyarakat Melayu amnya perlu berfikir secara serius untuk membentuk suatu pola pemikiran Melayu Baru yang berteraskan semangat Melayu yang tulen. Tanggungjawab mempertahankan hak Melayu adalah tanggungjawab semua dan bukan hanya terletak di bahu UMNO atau di bahu pihak-pihak tertentu semata-mata.

Salam Perkenalan

Bismillahirrahmanirrahim.

Selamat Datang dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca dan pelawat Blog Rasmi UMNO Cawangan Bangi 3, Bahagian Serdang. Sesungguhnya dunia hari ini telah menyaksikan satu lagi perubahan di mana media alternatif telah hampir 70% menguasai dunia dan dalam era dunia tanpa sempadan ini, sekelompok anak muda telah bersatu tenaga dan buah fikiran lantas menghasilkan satu wadah rasmi yang bukan hanya sekadar membicarakan persoalan politik di peringkat cawangan atau bahagian semata-mata malah akan berusaha membawa semua pembaca ke satu era pemikiran ORDER baru yang lebih segar dan berkesan.

Aspek yang bakal dikupas dan diterokai adalah merangkumi aspek sosial bermula dari peringkat remaja dan golongan muda hinggalah kepada yang telah berusia, aspek ekonomi dan perniagaan, aspek isu semasa, selain pengupasan yang menarik dalam aspek pendidikan dan akademik, kebudayaan serta akan juga menyentuh mengenai kemelut dunia yang berlaku hari ini.

Dunia blog mahupun laman web pada hari ini merupakan satu wadah penyampaian idea yang amat berkesan dan cepat serta merangkumi seluruh dunia di mana menyaksikan kelahiran satu pola pemikiran yang bercampur aduk dan meletakkan manusia di satu tahap di mana terlalu sukar untuk membedakan antara kebenaran dan kebatilan.

Namun begitu, pihak penulis (Umno Bangi 3) akan sentiasa memberikan pandangan yang berunsur pra ilmiah dalam bentuk muda yang lebih santai untuk tatapan para pembaca sekalian. Harapan kami agar blog ini menjadi satu suara untuk kita dan aspek perjuangan juga adalah tidak lari dari membicarakan dari perspektif dan persoalan kekitaan.

Selamat membaca.

‘Suara Kita Suara Perubahan’

Pak Abu