Tuesday, June 16, 2009

Persidangan Tahunan Bangi 3: Suara Anak Muda

13 Jun 2009, Bangi- Persidangan tahunan UMNO Cawangan Bangi 3 berlangsung dengan lancar sekali. Susunan aturcara yang tersusun dan profesional, ditambah dengan kehadiran Setiausaha UMNO Bahagian Serdang menambahkan lagi seri mesyuarat. Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua UMNO Cawangan Bangi 3, sdr Mazlan yang memohon ke hadrat Ilahi agar perjuangan UMNO dan mesyuarat malam tersebut berjalan lancar.

Sdr Jalil, Ketua UMNO Cawangan Bangi 3 memulakan sesi mesyuarat dengan ucapan alu-aluannya. Dalam ucapannya Sdr Jalil menggariskan beberapa perkara penting tentang UMNO Bangi 3. Ringkasannya:
1. Sdr Jalil mengumumkan kepada semua ahli bahawa UMNO Bangi 3 telah memiliki saluran media rasminya sendiri iaitu laman blog dan ia akan memuatkan bukan sahaja laporan aktiviti UMNO Bangi 3 bahkan ia akan juga menyentuh pandangan-pandangan anak muda terhadap isu-isu semasa meliputi semua aspek seperti kebudayaan, sosial, pendidikan, teknologi, agama dan ekonomi. Blog akan menjadi medium utama ahli untuk mengikuti dengan lebih dekat idealisme dan hala tuju gerakan UMNO Bangi 3.

2. Penubuhan 3 kelab utama iaitu KENU (Kelab Niaga dan Usahawan), Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) serta Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan (3K) yang berfungsi untuk menggerakkan ahli dan Cawangan dalam 3 aspek utama tersebut.
3. Menubuhkan koperasi UMNO Bangi 3 bagi memberikan peluang kepada ahli menambahkan pendapatan mereka. Permohonan untuk menubuhkan koperasi tersebut telah dilakukan oleh KENU.
4. Penubuhan sayap wanita UMNO Bangi 3. Dalam ertikata lain, Bangi 3 akan melebarkan pengaruh bukan hanya di kalangan orang muda sebaliknya tidak dilupakan untuk mereka yang berusia 40 tahun ke atas (atau 35 tahun bagi puteri). Serentak dengan penubuhan wanita, satu majlis penyampaian sumbangan untuk ibu-ibu tunggal akan diadakan. Program tersebut akan diketuai oleh Pn Masurawati, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan.

5. Pergerakan Pemuda UMNO Bangi 3 akan teruskan usaha kaderisasi para pemuda terutama yang berusia 30 tahun ke bawah dalam menjayakan program-program anjuran cawangan.
Sdr Jalil mengulangi pendirian UMNO Cawangan Bangi 3 untuk meneruskan perjuangan mereka bagi membela bangsa Melayu yang kini terumbang ambing nasib di bumi sendiri walaupun hanya di peringkat cawangan.
Mesyuarat seterusnya diteruskan dengan perasmian persidangan tahunan oleh Yg Bhg Tuan Hj Baharin, Setiausaha UMNO Bahagian Serdang. Ucapan yang amat menarik dari beliau yang menyentuh tentang nasib orang Melayu, pendidikan serta beberapa isu lain termasuk sejarah perjuangan UMNO suatu ketika dahulu menarik perhatian semua ahli Bangi 3 dan setrusnya membakar semangat mereka untuk terus mara dalam perjuangan ini.
Selesai ucapan daripada Tn Hj Baharin dan perasmian, persidangan tahunan UMNO Cawangan Bangi 3 dimulakan dengan Persidangan Pemuda. Sdr Jalil telah mencadangkan kepada sidang mesyuarat untuk di bawa ke peringkat Bahagian dan setrusnya ke UMNO Malaysia. Hj Baharin menyeru semua perwakilan supaya memberikan idea2 bernas memandangkan katanya cawangan ini terdiri hampir 30% keahlian adalah dikalangan professional muda.
Sdr Jalil membawa usul menggesa pimpinan tertinggi UMNO supaya memberikan tumpuan khusus kepada kewujudan media baru yang diminati golongan muda iaitu internet seperti blog dan laman2 web memandangkan pihak pembangkang mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah dan dakyah mereka menggunakan media-media yang dianggap alternatif bagi UMNO tetapi bagi rakyat pula telah mula mengalihkan perhatian mereka kepada media ini dan ia ternyata amat berkesan sekali hingga menyebabkan saluran 4 dan 5 BN telah tewas di dalam Pilihanraya baru-baru ini. Usul yang dibawakan ini telah diluluskan oleh sidang meyuarat secara sebulat suara.
Setelah selesai persidangan pemuda maka cawangan pula mula bersidang. UMNO Cawangan Bangi 3 menerusi Sdr Jalil sekali lagi mencadangkan usul agar perlembagaan UMNO dipinda bagi membolehkan pengundian untuk memilih presiden UMNO ditentukan hatta diperingkat kepimpinan cawangan. UMNO Bangi 3 menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk meneliti cadangan ini dan menentukan metodologi teknikal bagi pemilihan termasuklah cadangan untuk membolehkan pengundian secara online di pejabat bahagian dibuat. Usul ini dibahaskan seketika di dalam sidang mesyuarat namun setelah menjelaskan secara terperinci, ia diterima secra majoriti oleh sidang mesyuarat.
Mesyuarat diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh beberapa AJK cawangan yang menyentuh aspek kaderisasi dan penarikan sokongan oleh ahli UMNO termasuklah cadangan supaya mendekatkan diri dengan masjid dan surau bagi memenangi hati masyarakat setempat.
Sekalung tahniah diucapkan kepada AJK Cawangan dan ahli yang hadir ke mesyuarat tahunan UMNO Bangi 3 dan semoga hasrat semua untuk menjadi cawangan yang hebat bukan sahaja diperingkat cawangan dan bahagian malah dikenali dipersada nasional tercapai. InsyaAllah. Hidup Melayu! Hidup Islam!

PEJABAT UMNO
CAWANGAN BANGI 3

Saturday, June 13, 2009

Futsal Inter Cawangan Pemuda Bandar Baru Bangi Meriah

Pertandingan Futsal Inter Cawangan Pemuda UMNO sekitar Bandar Baru Bangi yang diadakan baru-baru ini berlansung dengan meriah sekali atas nama persahabatan dan persaudaraan sesama ahli UMNO yang tinggal berjiran kawasan Bandar Baru Bangi. Pertandingan yang berlansung selama hampir 2 jam itu menyaksikan penglibatan 6 cawangan Pergerakan Pemuda UMNO.

Perlawanan berlansung dalam 3 peringkat iaitu peringkat pusingan pertama, kedua dan seterusnya separuh akhir dan di ikuti oleh perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat. Seterusnya acara kemuncak iaitu final diadakan selama 10 minit.

Walaupun perlawanan berlansung tanpa pengadil namun tidak ada sebarang protes atau bantahan dibuat terhadap urusetia Bangi 3 yang terlibat menganjurkan pertandingan persahabatan tersebut. Tahniah diucapkan!.

Tempat pertama dimenangi oleh Pasukan di bawah bimbingan Sdr Diky Zawawi iaitu pasukan Sg Ramal Dalam, manakala tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan bimbingan Sdr Raof iaitu Jalan 6. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan bimbingan Sdr Shaharudin iaitu Jalan Bandar manakala penganjur kejohanan iaitu Pasukan Bangi 3 dibawah pimpinan Sdr Ujang mendapat tempat keempat setelah tewas tipis kepada Jalan Bandar. Pasukan bimbingan Sdr Yani pula mendapat tempat ke-5 manakala pasukan bimbingan Sdr Mat Sabri pula ditempat ke-6.

Menang kalah adat pertandingan dan hadiah disampaikan oleh Sdr Jalil Muhamad ketua Pemuda UMNO Bangi 3. Kerjasama dari semua pemain terutama ketuapemuda cawangan yang terlibat adalah sangat dihargai dan bagi pihak penganjur, kami mohon maaf atas segala kelemahan sepanjang perlawanan berlansung.