Thursday, March 18, 2010

Program Bual Bicara bersama YDP DPMM Putrajaya

1) UMNO Cawangan Bangi 3 dengan jayanya telah menganjurkan satu sesi bual bicara khas bersama Dato' Alayuddin, YDP Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Putrajaya.

2) Sesi bual bicara ini turut juga dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Serdang, Tuan Mejar Rahim dan AJK UMNO Bahagian Serdang, Tuan Hj Mahfodz.

3) Penyertaan adalah sekitar 15 orang dan sesi berlangsung selama hampir 3 jam dan dipengerusikan oleh Ketua UMNO Cawangan Bangi 3, Sdr Jalil Muhamad.

4) Selain berkongsi pengalaman, peserta juga didedahkan dengan aktiviti2 yang dilakukan oleh DPMM terutama dalam hal ehwal melibatkan penglibatan Bumiputra dalam bidang perniagaan.

5) Dalam ucapan Tuan Mejar Rahim, beliau menggalakkan program seperti ini dianjurkan terutama di Bahagian Serdang dan pada program di masa hadapan, diharapkan dapat menjemput kawasan bersebelahan untuk memastikan terus lancar.

6) Pihak UMNO Cawangan Bangi 3 mengucapkan ribuan terima kasih terutama kepada Pengarah program, Dr Norshinah Kamaruddin kerana telah berjaya merealisasikan program2 sebegini.

Friday, February 5, 2010

Taklimat Pinjaman Kewangan Oleh Konsultan Bebas

1. Bagi memebrikan manfaat kepada ahlinya yang baru ingin memulakan perniagaan, UMNO cawangan Bangi 3 telah menganjurkan satu siri taklimat bagaimana menyediakan kertas kerja dan persediaan asas sebelum memohon sesuatu pinjaman.

2. Kerjasama kali ini diadakan dengan sebuah konsultan bebas yang bertanggungjawab membantu peniaga menyediakan kertas kerja bagi memenuhi piawaian dan kualiti yang diperlukan untuk mendapatkan pinjaman dari pihak bank.

3. Seramai 15 ahli yang terlibat dengan perniagaan dan baru ingin memulakan perniagaan telah hadir ke sesi taklimat tersebut yang diadakan di pejabat milik Ketua Wanita UMNO Bangi 3 iaitu Dr Norshinah Kamaruddin di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

4. Sesi berlangsung dengan meriah dan teratur dan pelbagai soalan diajukan kepada konsultan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

5. Selesai sesi taklimat, satu post mortem khas diadakan dan kata sepakat yang diambil telah mencapai persetujuan agar sebarang permohonan yang datangnya dari ahli UMNO Bangi 3 akan dibuat secara bersama di mana permohonan akan dihantar secara bersama disertakan bersama sokongan daripada pihak terbabit.

6. Harapan semoga di masa hadapan program sebegini akan dapat diteruskan kerana manfaatnya kepada ahli amat besar.

PEJABAT UMNO BANGI 3

Sunday, October 25, 2009

SEKITAR GAMBAR PROGRAM TAUTAN KASIH MESRA




KOPERASI UMNO BANGI 3

1) Dalam meneruskan agenda perjuangan, agenda memajukan ekonomi ahli cawangan tidak pernah dilupakan. Maka atas dasar itu, satu mesyuarat khas penubuhan koperasi UMNO Bangi 3 telah diadakan.

2) Beberapa ketetapan telah dibuat antaranya:

i) Pelantikan organisasi untuk menggerakkan koperasi- Sdr Rizuan atau lebih dikenali sebagai Bob mengetuai koperasi bagi sesi 2009-2010.

ii) Koperasi Bangi 3 adalah di bawah Kelab Niaga dan Keusahawanan (KENU), UMNO Cawangan Bangi 3 tetapi KENU tidak akan campurtangan dalam pengurusan koperasi. Segala keputusan adalah datangnya daripada Lembaga Pengarah yang akan dilantik kelak.

iii) UMNO hanya akan campurtangan dalam aspek yang tidak mampu diselesaikan oleh Lembaga Pengarah atas permintaan Lembaga Pengarah sendiri.

3) Semoga koperasi ini akan berjaya didaftarkan dan memberikan manfaat kepada seluruh ahli kelak.

PEJABAT UMNO CAWANGAN BANGI 3

Sunday, September 27, 2009

SALAM AIDILFITRI

Rasanya tidak terlewat lagi untuk Pak Abu selaku moderator Blog Rasmi UMNO Bangi 3 untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin buat semua ahli UMNO Bangi 3 khasnya dan UMNO Bahagian Serdang amnya.

Segala kekasaran bahasa, tersinggung dan terprasangka buruk harap dimaafi. Inilah lumrah kita di dalam mengharungi perjuangan politik penuh dugaan dan liku ini tidak lekang dari kesilapan dan kesalahan samada disedari atau tidak.

Selamat Hari Raya....

Pak Abu
Moderator Blog Suara Bangi 3

Tautan Kasih Mesra UMNO Bangi 3- Ma'had Tahfiz Darul Fuqaha

Umno Bangi 3 sekali lagi membuktikan kemampuan cawangan ini bahawa ia bukanlah semata2 entiti politik. Matlamat untuk menjadikan Umno di peringkat cawangan ini sebagai sebuah entiti yang dekat dengan masyarakat lantas menjadikan Umno Bangi 3 terus relevan dan diterima oleh masyarakat dizahirkan dengan terlaksananya program berbentuk kebajikan yang dinamakan Tautan Kasih Mesra (TKM 09) Umno Bangi 3- Maahad Tahfiz Darul Fuqaha, Bangi.

Program yang berlangsung pada bulan Ramadhan ini digerakkan oleh 9 org AJK yang terdiri dari pimpinan kanan UMNO Bangi 3 dan diketuai oleh Dr Norshinah ini akan dijadikan program kebajikan secara tahunan.

Program bermula jam 5.30 ptg di mana kehadiran AJK disambut oleh Pengetua sekolah dan penjaga pelajar. Dimulakan dengan ucapan aluan oleh penjaga pelajar dan seterusnya ucapan oleh Sdr Jalil, Ketua UMNO Bangi 3. Program seterusnya diteruskan dengan penyampaian sumbangan berupa Naskhah Al-Quran yang disumbangkan oleh Dr Shinah serta pakaian terpakai.

Selesai penyampaian sumbangan, majlis diteruskan dengan slot motivasi santai yang disampaikan oleh Sdr Jalil dan Dr Shinah. Slot motivasi ini merupakan sumbangan dari segi pembangunan insan oleh UMNO Bangi 3 kepada para pelajar. Selesai sesi soal jawab, majlis diteruskan dengan program persembahan oleh para pelajar. Selain persembahan mengaji, para pelajar juga mempersembahkan nyanyian nasyid.

Majlis berbuka puasa dan beramah mesra antara pelajar dengan pimpinan UMNO Bangi 3 berlangsung dengan baik. Terima kasih diucapkan kepada pengarah program iaitu Dr Shinah di atas sumbangan tajaan makanan untuk anak2 yatim dan para tetamu.

Terima kasih di atas kerjasama yang baik buat para guru di ma'had tahfiz Darul Fuqaha dan buat semua yang terlibat dalam menjayakan program berbentuk kebajikan ini. Semoga usaha kita diberkati Allah hendaknya. Amin.

Wa'salam

PEJABAT UMNO BANGI 3

Wednesday, September 2, 2009

Agenda Kebajikan UMNO Bangi 3

BULAN Ramadhan adalah bulan yang penuh berkat dan umat Islam khasnya digalakkan melakukan amal ibadah serta membuat kebajikan. Atas dasar itu, maka UMNO Cawangan Bangi 3 melalui Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan akan menganjurkan satu program khas yang dinamakan Tautan Mesra Kasih.

Program Tautan Mesra Kasih (TMK) ini diadakan bagi meraikan anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal. Venue pilihan adalah di Ma'had Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab, Bangi pada 06 September 2009. Ma'had ini merupakan sebuah sekolah persendirian yang memberikan pendidikan secara percuma kepada anak2 yatim, fakir miskin dan ibu tunggal.
Pengarah bagi program ini adalah Dr Norshinah yang juga merupakan penasihat Kelab Kebajikan dan Kemasyarakatan, UMNO Bangi 3.
Menurut Dr Shinah, aktiviti kebajikan sebegini adalah sangat baik bagi imej UMNO secara keseluruhannya dan ia diharap akan dapat membetulkan kembali persepsi masyarakat terhadap UMNO secara keseluruhannya.
Manakala menurut Ketua UMNO Bangi 3 pula, program kebajikan seperti TMK diharap akan dapat menarik kumpulan masyarakat sekitar Bangi 3 agar dapat menyertai UMNO dan dapat memberikan sumbangan mereka tidak kiralah dari segi material, masa mahupun tenaga mereka. Buat pengkritik UMNO pula, Sdr Jalil mengharapkan mereka dapat menilai semula kritikan mereka kerana setakat ini, komitmen UMNO bagi membantu masyarakat tidak pernah pudar dan satu demi satu program kebajikan dan kemasyarakatan yang dibuat secara konsisten diharap dapat menyedarkan mereka tentang sisi positif UMNO itu sendiri. Dalam apa jua keadaan mereka yang bekerja ataupun berbuat sesuatu adalah lebih mulia daripada mereka yang hanya sekadar mengkritik tanpa melakukan apa-apa terhadap pembangunan bangsa.
Sdr Jalil juga mengharapkan semoga bulan ramadhan ini akan menjadi platform yang baik bagi mereka yang ingin terus bekerja dan menyumbang untuk bangsa, agama dan negara.
Diharap program TMK menjadi satu perintis kepada program kebajikan lain buat UMNO Bangi 3 dan UMNO Bangi 3 akan tetap konsisten dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan melakukan perkara yang baik walaupun berdepan pelbagai tohmahan negatif dari pelbagai pihak terutama yang datangnya dari bangsa Melayu sendiri!










PEJABAT UMNO BANGI 3

Friday, August 21, 2009

Selamat Berpuasa

Di kesempatan ini Pak Abu ingin mengucapkan selamat berjuang buat semua pembaca blog rasmi UMNO Cawangan Bangi 3. Perjuangan kali ini tidak memerlukan kita mengangkat senjata tetapi perjuangan ini dikatakan sebagai antara yang lpaling sukar untuk dilakukan oleh kita iaitu perjuangan melawan hawa nafsu.

Pak Abu nak pesan bukan hanya untuk kalian semua tetapi untuk diri sendiri jugak iaitu sempena bulan puasa ini perbanyakkanlah amalan kita sebab selama 11 bulan kita telah banyak sangat melakukan untuk dunia. Tetapi untuk sebulan ini kita lebihkan sedikit amalan kepada Ilahi sebab satu hari nanti kita pasti akan mengadapNya dan itu adalah PASTI.

Selamat berpuasa dan beribadah untuk semua sahabat2 terutama di Bangi 3 dan sahabat2 di Serdang amnya.

Pak Abu

Tuesday, August 11, 2009

Perlukah ISA Di Negara Kita?

1. Benarkah menghapuskan ISA adalah baik untuk rakyat? Benarkah ISA mengongkong rakyat dan zalim terhadap rakyat? Benarkah ISA merupakan jentera pemusnah yang dijadikan alat oleh pemerintah untuk menghukum seteru politik mereka di negara ini? Benarkah ISA perlu dihapuskan sama sekali?

2. Membaca kenyataan Tun Abdullah di dalam satu kenyataan beliau tempohari amat mengejutkan kita. Beliau menyokong penghapusan ISA di Malaysia. Benarkah beliau akan menyertai Pakatan Rakyat seperti yang pernah di war-warkan sebelum ini? Penulis tidak pasti tentang ini dan sekiranya ini berlaku maka kita tidak akan mampu berbuat apa2 kerana negara ini merupakan negara demokrasi. Setiap rakyat bebas bersuara dan memilih tetapi sebagai pejuang Melayu sejati saya yakin Tun Abdullah mempunyai pertimbangan beliau sendiri dalam membuat keputusan terbaik untuk negara dan bangsa.

3. Kita lupakan sejenak tentang cerita mantan PM, kita renungi seketika perhimpunan anti ISA dan perhimpunan pro-ISA yang berlangsung semalam. Wajarkah perhimpunan haram seperti ini diadakan?

4. Sejauh manakah kesan perhimpunan ini terhadap perubahan dasar negara tidak dapat pula dipastikan apabila Dato' Seri Najib mengeluarkan satu kenyataan bahawa ISA tidak akan dihapuskan sebaliknya akan dikaji dan diubah pada perkara2 tertentu sahaja. Itu pun masih dalam peringkat kajian dan perbincangan.

5. Jadi apa gunanya kita membuat kecoh di saat negara menghadapi kekangan ekonomi yang dahsyat ketika ini. Saya bukannya tidak sensitif mahupun simpati dengan mangsa ISA yang ditahan tanpa pembelaan selama bertahun-tahun lamanya di Kamunting. Tetapi kita amat yakin penahanan mereka pasti mempunyai sebab2 tertentu. Samada mereka terlibat dalam aktiviti subversif yang menggangu gugat kepentingan negara atau atas sebab2 lain yang mereka sendiri tahu sebenarnya.

6. Sekiranya ISA dihapuskan, pernahkah kita terfikir akan kesan dan akibat buruknya? Pernahkah kita terfikir kesan buruk berikut?:

1. Rakyat akan hidup dalam ketakutan disebabkan oleh kadangkala gerakan demontrasi yang melibatkan golongan berkepentingan ini akan berakhir dengan keganasan. Aktiviti perniagaan terjejas. Aktiviti membeli belah rakyat akan terhad.

2. Pelabur asing akan takut untuk melabur di Malaysia disebabkan oleh merasa keadaan politik negara tidak begitu stabil. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan ekonomi negara.

3. Budaya rundingan akan berakhir sebab sekiranya tuntutan ke atas perkara2 tertentu tidak dipenuhi, rakyat akan memprotes di jalan raya dan bukannya melalui pandangan2 tertentu kepada kerajaan melalui saluran yang betul. Hal ini tidak baik untuk sesebuah kerajaan demokrasi di mana suara majoriti rakyat dalam pilihanraya tidak begitu 'laku'lagi. Suara di jalanan lebih kuat.

4. Rakyat bawahan hanya digunakan oleh golongan tertentu untuk menjayakan agenda politik mereka. Kadangkala mereka sendiri pun tidak begitu faham apa itu ISA dan bagaimana ianya digunapakai dalam konteks negara kita.

5. Kerosakan harta benda awam. Hal ini tidak baik dan kebiasaannya dalam siri demontrasi inilah yang berlaku.

6. Imej negara tercalar dan jatuh di mata negara luar.

7. Golongan2 tertentu yang tidak bertanggungjawab akan sentiasa melakukan sesuka hati mereka untuk mencari publisiti politik dengan cara yang mudah tetapi menyusahkan semua pihak.

8. Keadaan negara sentiasa akan tidak selamat dan tenteram. Rakyat tidak lagi bebas bergerak untuk melakukan aktiviti mereka disebabkan oleh ancaman2 seperti tunjuk perasaan dan sebagainya.

7. UMNO Bangi 3 berpendapat, ISA WAJAR dikekalkan demi untuk menjaga kepentingan majoriti rakyat negara ini. Mungkin sedikit pindaan diperlukan bagi memastikan tidak wujud sebarang unsur kezaliman dalam melaksanakan akta tersebut. Jadi, buat masa ini saya masih dengan pendirian bersetuju dengan ISA.

Monday, August 10, 2009

Mengangkat Martabat Bangsa- Tun Dr Mahathir

Umno Bahagian Serdang telah berjaya menganjurkan program khasnya di mana panel jemputan terdiri daripada mantan PM Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah pada 01 Ogos lalu bertempat di DECTAR, UKM.

UMNO Cawangan Bangi 3 juga turut terlibat secara langsung dalam menjayakan program berkenaan di mana sdr Jalil dan Sdr Mazlan telah diberikan amanah sebagai AJK IT dan Multimedia memegang portfolio untuk menjayakan slide persembahan yang digunakan sepanjang program tersebut.
Walaupun kehadiran tidak mencapai sasaran tetapi kehadiran 1 200 hadirin pada hari program boleh dikatakan sesuatu yang boleh dibanggakan. Tambahan pula, kehadiran ahli Kelab Chedet (KCD) ke program tersebut telah menambahkan lagi impak kepada program ini di mana slot soal jawab yang diperuntukkan telah digunakan sebaik mungkin oleh jawatankuasa kelab tersebut.








Di dalam ucapan Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah beliau menyentuh mengenai peri perlunya bangsa Melayu terus bersatu di bawah payung UMNO kerana sebarang bentuk perpecahan hanya menguntungkan kaum lain yang terbukti lebih maju daripada Melayu. Selain itu beliau turut mengingatkan orang Melayu supaya bangkit mempertahankan hak bangsa Melayu yang kian terhakis masakini disebabkan oleh sikap negatif bangsa itu sendiri yang asyik bergaduh sesama sendiri dan berpecah.
Kemuncak kepada program Mengangkat Martabat Bangsa semestinya ucapan dari pemimpin terunggul yang pernah dilahirkan di bumi Malaysia iaitu ucaptama oleh Yg Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir menyentuh mengenai bagaimana untuk memartabatkan bangsa Melayu. Beliau berpesan bahawa bangsa Melayu akan dipandang tinggi sekiranya menguasai ilmu, tidak kiralah ilmu apa sekalipun asalkan memberi manfaat untuk bangsa dan negara. Selain itu orang Melayu harus berani menegur pemimpin sekiranya pemimpin melakukan sesuatu yang tidak betul. Sikap mengiyakan setiap perlakuan pemimpin walaupun diketahui ianya salah akan terus menghancurkan parti dan bangsa.
Sesi soal jawab berlangsung dengan aman walaupun pengerusi majlis mengehadkan hanya kepada 3 soalan sahaja. Tun Dr Mahathir menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan baik walaupun beliau kelihatan sedikit letih akibat banyak menghadiri program2 yang telah disusun.
Harapan UMNO Bangi 3 agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi oleh pihak UMNO Bahagian Serdang agar sokongan masyarakat terhadap UMNO dapat dipulihkan.
Hidup Melayu !!! Hidup UMNO!!!
PEJABAT UMNO BANGI 3